Category Archives: Hidup dan kehidupan

Tanda jiwa mukhlisin

Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia. (Al-Ikhlas:4). 

Kata orang, ikhlas itu rahsia Allah. Tak siapa dapat lihat dan tak siapa tahu sejauh mana ikhlasnya diri kita.

Pernah keikhlasanmu teruji?

Ikhlas itu meniatkan setiap kata, tindakan dan jihad yang dilakukan hanya untuk Allah, mencari keredhaan dan ganjaranNya tanpa mengharapkan harta, kemashyuran, kedudukan, pangkat, kemajuan, atau kemunduran. Bagi seorang daie, ikhlas itu adalah perjuangan fikrah dan aqidah bukan perjuangan matlamat dan kepentingan peribadi.

Tak mudah nak ikhlas kalau hati tak benar-benar dihadirkan pada saat amal atau perkara itu dilakukan. Ikhlas kena sentiasa disertai dengan niat yang betul. Baru jiwa itu tak ditempel dengan maksud-maksud lain yang tersembunyi seperti inginkan penghargaan, pujian, perhatian dan seangkatannya. Pendek kata, jiwa itu benar-benar ikhlas bila mana ianya tidak mendatangkan sebarang kesan dalam hati walaupun natijahnya baik atau buruk.

Ikhlas itu tanda jiwa mukhlisin- jiwa mereka yang diberikan taufiq untuk mentaati segala petunjuk dan perintahNya dengan ikhlas semata-mata dengan Allah sebagai matlamat.

Ya Allah, apakah amalan kami selama ini benar-benar ikhlas terhadapMu?

Ya Allah, jauhkanlah kami dari syirik nyata atau sembunyi. Semoga keikhlasan ini jadi akhlak dalam diri kami.

Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,

“Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang terpilih di antara mereka (mukhlis),

Allah berfirman: “Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya.

“Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).

(Al-Hijr:39-42)


Memaknakan sebuah kehidupan

Hidup yang bermakna bila engkau bernafas dalam redha Allah, engkau hidup untuk abdi padaNya dan engkau memilih untuk menjadi pemimpin bagi alam.

Hakikatnya, kehidupan ini cuma sementara. Mati itu adalah pasti. Syurga dan neraka juga pasti. Namun, berapa ramai yang benar-benar memilih untuk berada di jalan menuju ke syurga tika hidup ini masih berbaki? Hidup ini adalah perjuangan antara haq dan yang batil. Dan keduanya takkan pernah bercantum. Takkan pernah ada titik kesatuan. Bahkan yang batil itu akan terus meraja dan menakluk jiwa-jiwa untuk memalingkan dari Tuhan Yang Esa.

Kalaulah dosa dan pahala itu dapat dilihat, mungkin ada yang berteleku di sejadah menyapa taubat atas apa yang dilakukan. Kalaulah tarikh bila nyawa diambil sudah dikhabarkan, nescaya malam berembun dengan kalimah untukNya. Kalau yang tiada pernah wujud dan takkan pernah wujud.

Sungguh, apa makna sebuah kehidupan?

Bagaimana memaknakan sebuah kehidupan?

Hidup bukan sekadar makan, minum, pakai, cari duit, berkeluarga dan menjadi orang kenamaan. Itu bukan makna hidup yang sebenar. Hidup yang bermakna bila engkau bernafas dalam redha Allah, engkau hidup untuk abdi padaNya dan engkau memilih untuk menjadi pemimpin bagi alam. Hidup yang bermakna memerlukan jiwa rijal yang baru, yang sentiasa ingin membaiki diri, yang sentiasa ingin bergerak mengislahkan jiwa yang lain, yang berfikir untuk ummat, yang kuat tarbiyyah dzatiyyahnya, yang kental menghadapi mehnah demi ad-deen ini.

Hidup yang bermakna bukan semudah menyebut abc atau mengira 123, namun  ianya memerlukan tadhiyyah, mujahadah dan paling penting adalah disiplin untuk penyempurnaannya. Disiplin dalam menghadiri usrah/halaqah yang ada..disiplin dalam meninggalkan jahiliyyah yang tersedia..disiplin dalam menyemai benih-benih amal untuk jannahNya…

Tanpa disiplin, semua itu bagai lalang ditiup sang bayu. Goyah, lemah, layu dan tak upaya untuk memandu jiwa menatijahkan kesungguhan dalam memaknakan kehidupan. Disiplin jika benar-benar diaplikasi, bukan sekadar menjajah anggota untuk merutinkan diri malah mampu untuk melonjakkan dzatiyyah dan jiddiyah dalam diri walau dalam sekecil-kecil perkara.

nota kaki: Tak tahu berapa lama lagi di sini…sedangkan yang lain makin rancak memenuhkan bekal…jangan jadikan kesibukan dan kesusahan sebagai alasan untuk membiarkan bekas itu kosong dengan debu-debu beterbangan…sungguh, masa semakin suntuk…jalan sudah terbentang, sama ada mahu atau tidak.


Dipilih dan memilih untuk…

Hidup ini ibarat selembar kanvas. Lukisan mana yang ingin kau dilakar di atasnya? Pilihan di tanganmu…Dipilih dan memilih untuk…

Ijlis bina wa’ nu’min saah. Duduk sebentar dan beriman sejenak. Moga hati-hati milikNya masih terus segar berembun nikmat iman dan Islam.

Hidup ini memang tidak lari daripada membuat pilihan. Dari saat kelopak mata dicelikkan di pagi hari hinggalah ianya dipejamkanNya di malam hari. Kita sentiasa berperang dengan dua tarikan yang akhirnya akan menentukan di mana anggota harus mulakan langkahnya. Ada orang mudah saja jalannya. Hanya mengikut arah sudah sampai ke destinasi. Ada orang sukar jalannya. Terpaksa merentas ranjau duri untuk sampai ke tempatnya.

Namun, sunnatullah alam tak siapa mampu melawan. Yang susah pasti ada senang. Yang duka pasti ada suka. Yang pahit pasti ada manis.Yang derita pasti ada bahagia.  Semuanya perlu ditempuh untuk melengkapkan pakej diri sebagai seorang insan yang bergelar hamba pada Allah.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan,” Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” (Al-Ankabut:2)

Jika kita lihat hidup ini dari kaca mata sendiri, tidak dinafikan seluruh isi dunia ini cukup indah untuk dinikmati. Cukup pesona untuk dimiliki. Siapa yang tak inginkan kereta mewah, rumah banglo besar, pangkat yang tinggi, suami yang kacak, isteri yang jelita, anak-anak yang comel dan macam-macam lagi? Mungkin tak akan ada yang menolak jika disajikan dengan semua ini. Tak salah untuk memiliki apa yang diimpi tapi apakah cukup dengan semua ini untuk menghadap Ilahi? Bukankah kita yakin bahawa hidup ini sementara cuma?

Cuba kita fikirkan kembali. Melihat hidup ini dari neraca Allah.

Adakah kita sedar dari manakah kita datang?

Kenapa kita dijadikan?

Ke manakah kita akan pergi?

Dan adakah kita hidup kembali?

Iman bukan sekadar percaya dan yakin. Tetapi iman lebih dari sekadar percaya dan yakin. Iman, apabila ia menjajah segenap hati, ia mampu merubah individu menjadi individu yang lain. Individu hebat yang memanifestasikan segala suruhan RabbNya dengan benar dan  yakin. Tauhid Rububiyyah dan tauhid uluhiyyah.

Hidup ini adalah sebuah perkelanaan…Kita beruntung kerana dipilih olehNya untuk berada di muka bumi ini…Sedangkan jutaan yang lain tidak punya kesempatan…Kita bertuah dipilih olehNya untuk sedar akan hakikat deen ini…Sedangkan jutaan yang lain masih larut dalam kelalaian…Sekarang, tugas kita adalah memilih…memilih untuk berada di jalan menuju syurgaNya atau jalan untuk ke nerakaNya.

Kalau bukan kita, siapa lagi?

Kalau bukan sekarang, bila lagi?

“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba maka Allah memberinya kefahaman (faqih) tentang agama dan memberinya ilham kelurusan”. (HR Thabrani)

Ya Rabbi,

tetapkanlah aku, kau, dia dan mereka di atas pilihan ini dijalanMu.

Semoga terus istiqamah.

p/s: redha manusia takkan pernah ada pada pandangan mereka yang mengerti. carilah redha Allah kerana di situ penentu satu kehidupan hakiki.


Terbang tinggi

Terbang tinggi. Hidup mukmin itu beragenda. Maka, masih wujudkah istilah bosan atau tak tahu nak buat apa?

“Amacam soalan tadi? senang ke susah?”

Short answer questions tadi macam okay la…”

“Yeayyy…dah abis! Freedom la pasni!”

“Alhamdulillah, dah selesai. Tawakal!”

Antara dialog yang sering kita dengar bila peperiksaan tamat…Bermacam-macam bicara  yang terbit dari bibir dan reaksi yang bertamu di wajah…Tapi, pastinya pengakhiran dalam perjuangan di medan imtihan kali ini satu nafas kelegaan atas segala usaha dan upaya yang sudah ditaburkan…Itu memang tak dapat dinafikan.

Namun, bila bercakap mengenai selesai peperiksaan, perkara utama yang tak harus dipandang enteng adalah nikmat masa yang tersedia selepasnya..ramai yang menganggap bahawa masa tersebut adalah satu kebebasan yang ditunggu-tunggu…yang sangat dinanti-nanti…masa untuk melakukan apa-apa aktiviti yang tak dapat dilakukan ketika berperang dengan buku dan latihan-latihan…masa untuk melaksanakan apa-apa kegiatan yang tak dapat dilaksanakan ketika berjuang dengan nota dan soalan-soalan…hingga ada di antara kita yang mengeluarkan keluhan kebosanan dan tak tahu nak buat apa…

Apakah kita sebenarnya punya masa lapang untuk bersenang-lenang?

Masih teringat kata-kata seorang ukhti, masa lapang pada permulaannya adalah nikmat dari Allah. Dia berikan ruang untuk kita merangka penyibukan diri bagi tempoh seterusnya…merancang penyempitan dengan urusan bagi saat berikutnya…namun, andai berterusan merasakan lapang hingga wujud rasa bosan dan tak tahu nak buat apa, itu sebenarnya adalah petanda keberjayaan sang nafsu dan syaitan menyelinap masuk ke dalam diri…menggoda jiwa manusia agar terus leka…menghasut hati manusia agar terus alpa…sungguh, kadang-kadang kita tak menyedari bahawa kita diseronokkan dengan hal-hal yang tidak menyumbang pada amal…bahkan terus dilarutkan dalam cecair keghairahan yang membuatkan kita terasa indah dengannya..sebab itu kita perlu dinasihatkan…sebab itu kita harus diperingatkan..

“Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya sekiranya mereka mengetahui.” (Ar-Rum: 64)

Hidup mukmin itu beragenda….mereka yang hangat jiwanya pada akhirat tidak merasakan kehidupan ini satu kesenangan…tidak merasakan kehidupan ini satu kelapangan..mereka berusaha menawan alam Allah yang terbentang agar Islam itu tertegak dengan gahnya…mereka mengejar agenda syurga Allah yang teragung agar pengakhirannya satu kenikmatan…sungguh, hidup ini untuk bersusah payah…

Lantas, apakah kita sudah punya perancangan untuk menggapai agenda?

Atau kita masih lagi berkira-kira untuk menggapai agenda?

“…Maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah kamu semua kembali, lalu diberitahukanNya kepadamu terhadap apa yang dahulu kamu perselisihkan.” (Al-Maidah: 48)

Kerehatan yang sebenar hanya mampu dirasa bila berada dalam syurga Allah…


Bumi akhir usia

Sedar atau tidak, dunia ini bukanlah semakin muda namun sebaliknya…bumi di akhir usia, maka manusia juga di akhir usia…tapi, berapa ramai yang menyedari hakikat ini? berapa ramai yang masih menyangka bahawa hidup ini masih panjang? berapa ramai yang masih merasakan usia mereka masih di awal sebuah penghidupan? Kata orang, usia itu cuma angka. Benar. Usia itu memang angka, ada naiknya tapi takkan pernah ada turunnya…

Aku melihat dari kejauhan…cuba merenung dengan mata hati…melihat dunia dengan perspektif yang berbeda…mencari jawapan pada satu persoalan. Apakah manusia itu tahu tujuan hidup ini diciptakan atau sebaliknya? Manusia tetap manusia, sejak dari Nabi Adam a.s dan Hawa hinggalah saat ini. Manusia itu tidak pernah mengalami sebarang perubahan dari segi kejadiannya. Tetap sama diciptakanNya dengan tujuan hidup yang sama iaitu mengabdikan diri pada Tuhan yang satu. Cuma yang berubah hanyalah kuantiti dan kualiti manusia yang ada di muka bumi ini…

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu” (51:56)

Hari demi hari, bumi ini tidak lagi sesubur dulu…terlalu banyak kekacauan yang menempel pada kerak-kerak bumi…terlalu banyak kemusnahan yang mengganggu imbang kestabilannya…sana-sini masalah ummat diperkatakan…tak perlu untuk diceritakan lantaran semuanya sudah terang lagi bersuluh…masalah ummat kini bukan lagi tenat tapi ibarat telur di hujung tanduk..cukup kritikal…cukup serius…apakah kita masih belum sedar? atau kita sengaja menafikannya? Realitinya, pahala tetap pahala dan dosa tetap dosa…matlamat takkan pernah menghalalkan cara…

Justeru, penawarnya cuma satu…buka pintu hati seluas-luas yang mungkin…tundukkan mahkota ego serendah-rendah yang boleh…kembalilah menjadi hamba yang sebenar-benar pada Pencipta..kembalilah menjadi manusia yang fitrah…pohonlah supaya hidayah itu menjadi milikmu…andai ketukan sudah kedengaran, usah berlengah, ambillah, garaplah dan genggamlah  sekuat yang mungkin…moga tsabat itu jadi buah amal untuk bersama bidadari-bidadari yang yang membatasi pandangan, yang tidak pernah disentuh oleh manusia mahupun jin sebelumnya atau bersama bidadara-bidadara yang tetap muda, yang apabila melihatnya, akan kamu kira mereka mutiara yang bertaburan…

“…Dan bagi kamu di dalamnya (syurga) apa yang kamu inginkan dan bagi kamu (pula) di dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai penghormatan (bagimu) dari Rabb yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (41: 31-32)


Kemaskini kehidupan

” Saya adalah pengembara yang mencari kebenaran.

Saya adalah manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan.

Saya adalah warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, merdeka, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni.

Saya hanyalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya.

Sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, tuhan sekalian alam, tiada yang mempersekutui-Nya.

Inilah yang diperintahkan kepada saya dan saya salah seorang yang menyerahkan diri.”

(Imam Syahid Hasan al-Bana)

Itulah jawapan yang diberikan oleh Imam al-Syahid tatkala seorang wartawan bertanya tentang dirinya dan memperkenalkan kepada orang ramai. Hanya Allah dan Islam tujuan sebenar kehidupannya. Beliau manusia unggul yang bangkit untuk menenggelamkan segala kesesatan yang merintangi jalan dan memberikan sinar cahaya kepada dunia ini.

Itu dia, kita siapa?

Mengimbau kembali nilai usia saat ini, apakah kisah kehidupan kita mampu menghiasi dunia Islam? Apakah perhitungan nanti cukup melayakkan kita menerima buku amal dengan tangan kanan? Sejauh mana izzahnya kita dengan Islam yang kita anuti?

Mungkin kita cukup selesa dengan kehidupan yang dilalui sekarang…semuanya cukup lengkap memenuhi tuntutan hidup seorang manusia terutamanya jiwa-jiwa muda yang dihidangkan dengan juadah teknologi dan globalisasi yang cukup enak…hingga ada yang kekenyangan sehingga larut dalam lena kemaksiatan…

Itulah hidup dan kehidupan. Menjadi hamba pada dunia atau hamba pada pencipta dunia.

Sejauh mana penceritaan kisah kita akan berakhir? Apakah kronologi kisah kehidupan kita bakal dikhabarkan untuk santapan jiwa-jiwa seterusnnya? Masa akan terus bergerak dan bergerak…hingga satu saat diri tak mampu berbuat apa-apa..melainkan hanya menjadi sekujur tubuh kaku untuk dikebumikan ke dalam liang lahad.

Kemaskini kehidupan lantas dirimu punya jawapan untuk meletakkan kisahmu di mana.


Raja jasad

Bukan mudah untuk mendidik jiwa kalau bukan hati yang mengiakan…

Bukan mudah untuk mentaujih ruhi kalau bukan hati yang membenarkan…

Bukan mudah untuk menerima perubahan kalau bukan hati yang mahukan…

Hati itu raja jasad…raja yang mendorong baik buruk dalam jiwa seorang hamba…raja yang mengawal segala tindak-tanduk seorang manusia…sebab itu pandang dengan mata hati..bukan dengan pandangan mata yang selalu menipu..bukan dengan pandangan akal yang selalu tersalah…bukan juga dengan pandangan nafsu yang selalu melulu.

Pandang dengan mata hati kerna pandangan hati itu yang hakiki…mereka yang mampu berubah dan mengubah adalah mereka yang inginkan pembersihan hati..mereka yang mahu ditarbiyyah dan mentarbiyyah adalah mereka yang inginkan pengislahan hati…sebab hati yang suci dan bersih itu kunci pada segala kekuatan untuk bergerak dalam saff dakwah dan tarbiyyah…

Daripada An-Nu’man bin Basyir r.a katanya saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas. Antara kedua-duanya pula terdapat perkara-perkara yang diragui dan tidak diketahui oleh manusia. Sesiapa yang memelihara dirinya daripada perkara-perkara yang diragui, dia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Sesiapa yang terjatuh ke dalam perkara-perkara yang diragui, dia telah terjatuh ke dalam perkara yang haram seperti pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan. Haiwan peliharaannya hampir-hampir meragut dalam kawasan itu. Ingatlah sesungguhnya setiap raja ada kawasan larangan. Ingatlah sesungguhnya kawasan larangan Allah ialah segala yang diharamkanNya. Ingatlah, sesungguhnya dalam jasad manusia ada seketul daging yang apabila ia baik, baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, ia adalah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Layakkah aku?

Ramadhan yang menyentuh tangkai hati

30 Ramadhan 1431H. Jejak terakhir meniti hari dalam bulan yang penuh barakah dan kemuliaanNya. Terasa masa berlalu terlalu pantas…amat pantas…purnama yang pada awalnya berupa anak bulan sabit kini kembali seperti itu…petanda bahawa Syawal kini semakin menghampiri..

Ramadhan itu…tak terhitung segala nikmat yang Dia berikan..bulan yang menggandakan pahala buat jiwa-jiwa yang mencari bekalan untuk di bawa ke sana nanti…bulan yang mengislahkan nubari demi menempuh perhitungan di alam sana nanti…bulan yang menyentuh tangkai hati untuk kembali meraikan fitrah kepada pencipta diri ini…

Ramadhan itu punya ceritera yang tak bisa diungkap dengan bicara lisan..Ramadhan itu kaitnya dengan tangkai hatimu..dengan qalbumu…

sejauh mana dirimu memburu malam idaman yang lebih baik dari seribu bulan?

sejauh mana hidupmu di bawah bayangan Al-Furqan?

sejauh mana jiwamu mengekang  al-hawa’ dari segala macam perkara yang dilarang?

sejauh mana pengabdianmu dalam tunduk sujud syukur padaNya?

Tepuk dada, tanya iman…

Aidilfitri dan hakikatnya

Berakhirnya Ramadhan bermakna Aidilfitri sudah semakin hampir. Tentu banyak dalam kalangan kita yang sibuk membuat persiapan untuk menyambut perayaan tersebut hingga meminimakan pengabdian dan hak pada Pencipta Agung. Hinggakan Ramadhan yang bakal ditinggalkan itu tidak diendahkan…

Apakah Ramadhan itu ditempuh sekadar berhaus dahaga demi meraikan hari lebaran?

Adakah kita layak untuk merayakannya sebenarnya?

‘Aid’ atau ‘id pada permulaan perkataan Aidilfitri membawa maksud perayaan. Manakala ‘fitri’ atau fitr pula merujuk kepada Fitrah.

Hakikatnya, pengertian Aidilfitri ialah perayaan merayakan fitrah yakni meraikan diri yang kini kembali kepada fitrah Islam – sejahtera, suci, tulus dan bersih dari segala noda dan dosa setelah melalui pentarbiyyahan universiti Ramadhan…

Universiti yang menyediakan kursus untuk mengislahkan tangkai hatimu, menyuburkan kelesuan imanmu, menyegarkan kelayuan taqwamu dan menakungkan kekeringan mahabbah dalam dirimu…

Kemenangan itu hanya untuk jiwa yang mengisi Ramadhan sesempurna hati…

Kemenangan itu hanya untuk jiwa yang mengisi Ramadhan sesempurna hati…

untuk mereka yang kembali kepada fitrah cinta Allah dan Rasul yang hakiki…

untuk mereka yang berjaya menjadi sebenar-benar hamba Ilahi…

Malu padaNya andai aku jadi insan yang paling teruja menyambut kemenangan ini tapi jauh dari neracaNya aku adalah antara mereka yang kecundang dan gagal dalam menunaikan hak-hakNya.

Duhai jiwa, muhasabahlah! mujahadahlah selagi dirimu masih di sini…di bumi ini..di medan ini untuk kau kutip seberapa banyak buah amal untuk ketemu Dia suatu masa nanti…

Aku yang masih mengembara menuju ke syurgaNya…


Merdeka yang bagaimana

Walau bukan di tanah air sendiri saat ini, tapi bumi Malaysia itu masih di jiwa ini…bumi yang akan menghamparkan medan dakwah dan tarbiyyah yang sebenar…53 tahun kemerdekaan…namun, sejauh manakah penghuni tanah subur itu memahami erti merdeka?…menaksir erti bebas dari penjajah…adakah merdeka itu dilakar tatkala bendera Union Jack diturunkan oleh pihak British? atau ianya tertulis bila mana sang komunis tak bermaharajalela lagi di bumi itu? atau ianya tercatat bila laungan merdeka!merdeka!merdeka! berkumandang tepat jam 12 tengah malam? atau merdeka itu dirasa bila diri berada pada malam sambutan atau konsert kemerdekaan?

Kemerdekaan itu satu sejarah dan sejarah itu takkan hanya tinggal sejarah… mereka yang tidak mengambil pengajaran dan tauladan dari sejarah terdahulu mungkin akan mengulangi sejarah tersebut. Sebagaimana kisah umat terdahulu yang Allah lampirkan dalam ayat-ayatNya buat pedoman dan iktibar umat masa kini…

“Dia yang mengeluarkan orang-orang yang kafir di antara ahli kitab (Yahudi) dari kampung mereka, sejak mula mereka berkumpul di tanah Arab. Kamu tidak menyangka bahawa mereka akan keluar dan mereka menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan memelihara mereka dari (seksaan) Allah, lalu Allah mendatangkan (seksaan) kepada mereka dari pihak yang tidak mereka sangka dan menjatuhkan ketakutan ke dalam hati mereka, sedang mereka merobohkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan dengan tangan orang-orang Mukmin (dalam pertempuran). Maka ambillah pengajaran(iktibar) hai orang-orang yang berakal.” (Al-Hasyr 59:2)

Merdeka yang bagaimana yang kau cari?


Harga nyawa

 

Bayi perempuan dalam beg ditemui di hentian bas. Pemuda tanam bayi dihukum penjara dua tahun. Pasangan remaja mengaku salah tanam bayi. Lagi mayat bayi ditemui. Ingatkan bunyi kucing, rupanya bayi menangis. Bekas pelajar UiTM mengaku buang bayi. Mayat bayi ditemui dalam longkang. Jurujual wanita ditahan disyaki buang bayi. Terlalu banyak cerita tentang potret insan bernama manusia kecil ini…tubuh kerdil itu hanya mungkin sempat melihat dunia untuk seketika..tak bisa merasa nikmat pancaindera apatah lagi menggunakannya untuk tunduk pada pencipta…

Saban hari, kerakusan dan keghairahan si teruna dan si dara dalam hal ini semakin menjadi-jadi…ikatan halal yang disyariatkanNya sepatutnya menjadi pegangan sudah lagi tidak dihiraukan..bahkan ianya seolah-olah menjadi perkara kebiasaan dalam kalangan masyarakat kini…sudahlah melanggar hukum menjerumus diri dalam hubungan luar nikah, kini si kecil itu diperlakukan sewenang-wenangnya tanpa secalit rasa perikemanusiaan…jangankan simpati yang diharap, nilai kasihan pada darah daging sendiri seakan-akan tiada nilainya…

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.” (Surah Al-Israa’ ayat 32)

Hilang akalkah manusia yang sebegini hinggakan harga nyawa itu tidak dipeduli lagi? Adakah harga nyawa itu semurah membeli barang di pasang borong? Yang pada bila-bila masa boleh dibeli dan tawar-menawar? Yang ada naik turun harganya? Apakah akal itu masih waras berfikir perasaan pasangan yang berkahwin yang masih belum dikurnia cahaya mata bertahun-tahun lamanya? Adakah sembilan bulan sepuluh hari itu hanya sekadar nombor di mata mereka?

Manusia hilang nilai kemanusiaan bila mana hidup bertuhankan nafsu. Imam al-Ghazali menjelaskan kedudukan manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat jika akal mereka boleh menundukkan nafsu, tetapi mereka akan menjadi lebih teruk daripada binatang jika mereka hidup bertunjangkan nafsu,” katanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-A’araf :179)

Buat ingatan diri dan mereka di luar sana, kembalilah  pada jalanNya yang sebenar kerana fitrah manusia itu adalah mencari yang sejahtera…kasih, sayang atau cinta pada manusia bukan berlandaskan al-hawa’ tetapi ianya berpasakkan kasih, sayang atau cinta pada Rabbul Jalil. Ingatlah bahawa matlamat takkan pernah menghalalkan cara…


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.