Monthly Archives: April 2011

Dipilih dan memilih untuk…

Hidup ini ibarat selembar kanvas. Lukisan mana yang ingin kau dilakar di atasnya? Pilihan di tanganmu…Dipilih dan memilih untuk…

Ijlis bina wa’ nu’min saah. Duduk sebentar dan beriman sejenak. Moga hati-hati milikNya masih terus segar berembun nikmat iman dan Islam.

Hidup ini memang tidak lari daripada membuat pilihan. Dari saat kelopak mata dicelikkan di pagi hari hinggalah ianya dipejamkanNya di malam hari. Kita sentiasa berperang dengan dua tarikan yang akhirnya akan menentukan di mana anggota harus mulakan langkahnya. Ada orang mudah saja jalannya. Hanya mengikut arah sudah sampai ke destinasi. Ada orang sukar jalannya. Terpaksa merentas ranjau duri untuk sampai ke tempatnya.

Namun, sunnatullah alam tak siapa mampu melawan. Yang susah pasti ada senang. Yang duka pasti ada suka. Yang pahit pasti ada manis.Yang derita pasti ada bahagia.  Semuanya perlu ditempuh untuk melengkapkan pakej diri sebagai seorang insan yang bergelar hamba pada Allah.

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan,” Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” (Al-Ankabut:2)

Jika kita lihat hidup ini dari kaca mata sendiri, tidak dinafikan seluruh isi dunia ini cukup indah untuk dinikmati. Cukup pesona untuk dimiliki. Siapa yang tak inginkan kereta mewah, rumah banglo besar, pangkat yang tinggi, suami yang kacak, isteri yang jelita, anak-anak yang comel dan macam-macam lagi? Mungkin tak akan ada yang menolak jika disajikan dengan semua ini. Tak salah untuk memiliki apa yang diimpi tapi apakah cukup dengan semua ini untuk menghadap Ilahi? Bukankah kita yakin bahawa hidup ini sementara cuma?

Cuba kita fikirkan kembali. Melihat hidup ini dari neraca Allah.

Adakah kita sedar dari manakah kita datang?

Kenapa kita dijadikan?

Ke manakah kita akan pergi?

Dan adakah kita hidup kembali?

Iman bukan sekadar percaya dan yakin. Tetapi iman lebih dari sekadar percaya dan yakin. Iman, apabila ia menjajah segenap hati, ia mampu merubah individu menjadi individu yang lain. Individu hebat yang memanifestasikan segala suruhan RabbNya dengan benar dan  yakin. Tauhid Rububiyyah dan tauhid uluhiyyah.

Hidup ini adalah sebuah perkelanaan…Kita beruntung kerana dipilih olehNya untuk berada di muka bumi ini…Sedangkan jutaan yang lain tidak punya kesempatan…Kita bertuah dipilih olehNya untuk sedar akan hakikat deen ini…Sedangkan jutaan yang lain masih larut dalam kelalaian…Sekarang, tugas kita adalah memilih…memilih untuk berada di jalan menuju syurgaNya atau jalan untuk ke nerakaNya.

Kalau bukan kita, siapa lagi?

Kalau bukan sekarang, bila lagi?

“Apabila Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba maka Allah memberinya kefahaman (faqih) tentang agama dan memberinya ilham kelurusan”. (HR Thabrani)

Ya Rabbi,

tetapkanlah aku, kau, dia dan mereka di atas pilihan ini dijalanMu.

Semoga terus istiqamah.

p/s: redha manusia takkan pernah ada pada pandangan mereka yang mengerti. carilah redha Allah kerana di situ penentu satu kehidupan hakiki.


Ajarilah jiwamu

Ajarilah jiwamu untuk terbang tinggi, nescaya ia tidak akan suka dengan kerendahan.

Kenalkanlah kepadanya kemuliaan, nescaya ia akan membenci kehinaan.

Rasakanlah kepadanya kesenangan ruhani yang besar, nescaya ia akan meremehkan kesenangan jasmani yang kecil.

(Pelembut Hati: Muhammad Ahmad ar-Rasyid)


Business manusia

Semua manusia yang ada di muka bumi ini pastinya inginkan keuntungan. Menjadikan  kehidupan ini  sebagai satu perdagangan menuju pada tujuan tersebut. Tak kira dalam apa jua perkara yang dilaksanakan, istilah rugi tentunya tidak termaktub dalam kamus kehidupan kita. Sebanyak mana halangan dan rintangan yang terpaksa diredah, sebanyak mana mehnah dan tribulasi yang harus ditempuh, demi satu keuntungan, pasti manusia itu sanguup berusaha untuk mendapatkannya. Namun, tahukah kita ada satu keuntungan yang paling besar yang ditawarkan buat kita? Keuntungan yang tiada pernah ada ruginya.

Pernah dengar istilah ‘business manusia’?

Ia bukannya menjual atau memperdagang manusia tetapi ia adalah business yang mengembalikan manusia pada Rabbnya. Mendekatkan manusia pada fitrah dan matlamat sebenar hidupnya. Menyelamatkan manusia dari keasyikan permainan duniawi. Business yang meminta hati-hati untuk diislahkan. Business yang menuntut jiwa-jiwa untuk ditaujihkan. Business yang memakan masa yang lama dan dipenuhi dengan ujian sebagai sunnatullah.

Business manusia. Menyeru pada Tuhan yang satu.

” Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (As-Saff:10-11)

“Katakanlah (wahai Muhammad): Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, meyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. (Yusuf:108)

Nota kaki: Pandanglah mereka dengan pandangan rahmah. Kebencian itu hanya pada jahiliyyah yang menempel, bukan pada jiwa yang memiliki. Perlu ligatkan langkah.


Sensitif hati

Bukalah hatimu…Pandanglah ke hadapan..Di situ ada jawapan pada sebuah kehidupan…

“…Gunakanlah waktu itu sebaik-baiknya kerana waktu itu bagaikan pedang, dan janganlah kamu menangguh-nangguhkan kesempatan ini, kerana sesungguhnya tiada yang lebih berbahaya dari sikap menangguh-nangguhkan kebaikan.” (ISHAB)

Kita sering mengutarakan jutaan alasan dan sebab tatkala diajak pada sebuah kebaikan untuk melonjakkan amal dalam diri. Dikaitnya dengan usia yang masih muda (eg.”nanti dululah bro! aku kan muda lagi? tua nanti taubatlah”), perjalanan hidup yang masih panjang (eg. “buat apa nak susah-susah masa muda ni, lama lagi nak hiduplah. relakslah!”), kerjaya yang memberansangkan (eg.”duitkan segala-galanya… tak makanlah jawabnya kalau tak kerja macam ni”) dan macam-macam lagi asbab yang dihujahkan (eg. konon nak tunjuk alim etc). Seolah-olah janji dunia dan seluruh pesona isinya lebih perlu berbanding usaha ke arah kebaikan menuju ke kampung halaman sebenar yakni akhirat dan syurgaNya.

Kadang-kadang, ada yang berasa terlalu berat untuk melaksanakan apa yang dituntut oleh pencipta sekalian alam. Rasa malas menguasai seluruh genap dan penjuru anggota badan. Seakan-akan kaki kaku dan mulut terkunci untuk tunduk sujud padaNya.  Mengapa begitu malas untuk beribadah padahal tujuan penciptaan kita adalah untuk mengabdikan diri semata-mata kepada Allah (51:56). Apa lagi yang dicari jika tahu semuanya nanti bakal ditinggalkan?

Jika dikata tentang kecantikan atau kekacakan, pantas saja jiwa mengiakan untuk memenuhi kehendak rasa untuk kelihatan sebegitu rupa. Hati terus sensitif jika dikata sebaliknya. Alangkah indah jika sensitif itu hadir bila mana khabar iman dan amal berkurang. Terus saja jiwa bangun dari lena yang panjang lalu sembah sujud padaNya memohon payung keampunan. Tahukah kita bahawa sebaik-baik pakaian dan bekal orang mukmin adalah pakaian TAQWA.

“Hai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Tetapi, pakaian taqwa itulah yang lebih baik. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ingat.” (Al-A’raaf: 26).

Taqwa adalah meninggalkan apa-apa yang dikehendaki oleh hawa nafsumu, kerana engkau takut kepada Allah, redha dengan ketentuanNya dan mempersiapkan diri untuk menghadapi hari kiamat nanti. Taqwa tidak memilih waktu dan tempat. Takutilah Allah di mana sahaja engkau berada sama ada di tempat yang ramai mahupun di tempat yang sunyi jauh dari pandangan mata manusia.

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila mereka dibayang-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya).” (Al-A’araf: 201)

Latih diri untuk jadi lebih sensitif bila kaitannya dengan iman dan amal.

Sensitif yang mempositifkan minda dan jiwa untuk bergerak mencari redha dan cinta Allah.

Sungguh, tiada yang lebih berbahaya dari sikap menangguh-nangguhkan kebaikan.