Category Archives: Tarbiyyah

Hikmah kembara [5]…Dialah sebaik-baik perancang.

hosp balingSetahun yang berlalu…Manusia itu merancang dengan cita, tapi Allah merancang dengan cinta pada hambaNya…Sungguh, Dialah sebaik-baik perancang.

April menjenguk kembali…alhamdulillah, kita masih di sini…bernafas dalam rahmat Ilahi…entah ke berapa kali lafaz syukur mengiringi setiap gerak geri…moga kita tak pernah lupa padaNya…Dan sedar tak sedar, cukup pantas masa berputar…seakan baru semalam diri ini dikhabarkn untuk menabur bakti buat warga jelapang padi nun jauh di utara…rupanya, setahun sudah berlalu…bermacam-macam cerita suka duka dilakar…kisah-kisah hikmah kembara yang memenuhi babak-babak tarbiyyah sebuah kehidupan…terlalu banyak untuk dikenang dan dipahatkan..dan yang pasti, kisah-kisah itu adalah pengalaman terindah dan terbaik untuk kita menghadap hari-hari mendatang…

Setahun yang berlalu, bermakna sampai waktu lagi untuk diri ini menanti jawapan untuk tempat kerjaya yang seterusnya…bukanlah tujuan penulis untuk meng‘highlightkn‘ tempat mana yang terbaik untuk mana-mana kerjaya, tapi di sebalik sebuah penantian itu, terkandung makna-makna tersirat yang padanya ada tarbiyyah dari Dia untuk diri yang ingin belajar dan terus belajar…

Dalam hidup ini, setiap dari kita pasti tak pernah terlepas dari sebuah penantian. Si pelajar menanti keputusan peperiksan, si graduan menanti sebuah pekerjaan, si teruna menanti jawapan persetujuan si dara, si ibu dan ayah menanti kelahiran sang cahaya mata dan berbagai-bagai lagi contoh yang kita sendiri pernah hadapi…Tapi, pernahkah kita sedar, dalam sebuah penantian, ada bicara sabar dan ikhtiar yang mengiringi? Ada bicara redha dan tawakkal yang menemani? Menanti bukan hanya menopang dagu sambil menggoyangkan kaki…sebaliknya, biarlah penantian itu penuh dengan rencah-rencah usaha untuk mendapatkan lazatnya pengakhiran jawapan..Alangkah indah andai penantian itu dihiasi dengan doa dan pergantungan yang total kepadaNya…Alangkah indah andai penantian itu disulam dengan pengharapan dan tekad untu beroleh redhaNya…

Justeru, andai kenyataan tidak semanis yang diimpi di penghujungnya, kita masih mampu mengukir senyum dengan  cebisan pahala yang dikumpul…andai taqdir tidak seperti yang diidamkan, kita masih mampu berlapang dada dengan hikmah di sebalik realiti yang muncul…Sungguh, kita tidak tahu, sedang Dia Maha Tahu.

.”…Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. (Luqman, 31:34 )

Manusia itu merancang dengan cita, tapi Allah merancang dengan cinta pada hambaNya.
Sungguh, Dialah sebaik-baik perancang.
Sebuah penantian.
Moga semuanya untuk Allah.

02042013.

The end of PRP’s journey.

Hope for a better tomorrow. InsyaAllah.

 


The choice is yours

No Turning Back

“Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (QS An-Nisa [4]: 17).

Kalau kat dunia, masih ada ruang untuk perbetulkan diri, belajar dari kesilapan, berusaha untuk perbaiki kelemahan & kekurangan, bertaubat menyesali apa yang dilakukan.
Tapi, di sana kelak, tiada lagi istilah berpatah balik. Apa yang dikerjakan di sini, itulah yang akan dituai nanti.

Tarbiyyah #7161:
There is no turning back.

You will learn more from things that happen to you in real life than you will from hearing about or studying things that happen to other people.

The choice is yours.


Pesan murabbi

dakwah-253381

  • Kita hebat kerana dakwah dan tarbiyyah.
  • Perlu tahu sejarah untuk cipta sejarah.
  • Setiap dari kita punya potensi dan kekuatan masing-masing. Uji potensi diri. Biar bermanfaat pada orang lain.
  • Kerja yang ada lebih banyak dari masa yang ada. Beri masa dan dan hak selayaknya kepada Allah.
  • Hijrah adalah sunnah. Bukan bumi yang menyucikan kita.
  • Doakan mutarabbi menjadi lebih baik daripada kita. Jangan pernah ada hasad dengki.
  • Be flexible. Bersedia bekerja sebagai jundi (tentera) dan qiadah (pemimpin).
  • Hidup basathoh/simple. Jauhi kemewahan terlampau.
  • Ujian itu pasti menyapa.
  • Boleh jadi kita tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagi diri kita. Boleh jadi kita menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagi diri kita. Sentiasa bersangka baik dengan Allah kerana Dia lebih tahu apa yang tidak kita tahu.
  • Birruwalidain. Balas jasa dan tunaikan hak ibu dan ayah sebaiknya.
  • Erti hidup pada memberi. Infaq sebahagian harta yang dimiliki. Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.
  • Jagalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya adalah malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka pada Allah dan sentiasa mengerjakan apa yang diperintahkanNya.
  • Jodoh adalah rahsia Allah.
  • Tarbiyyah dzatiyyah/self-tarbiyyah adalah wasilah terbai untuk thabat dan istiqamah dalam apa jua keadaan terutamanya ketika bersendirian. Dihisab sendiri-sendiri nanti.
  • Jika kita memilih untuk keluar dari jalan dakwah & tarbiyyah, maka sebenarnya kita memilih untuk menghancurkan diri.
  • Graduasi di jalan dakwah & tarbiyyah apabila kau melangkah ke syurga Allah.

“Tak perlu menuntut yang sempurna, dan mempersulit keadaan yang sebenarnya sederhana. Kerana padamu juga kelemahan itu selalu ada. Yang benar adalah sempurnakanlah niat awal kita, jika ia penuh berkah dan redha dariNya, maka titik kemuliaan menjadi seorang manusia insyaAllah akan dimudahkan oleh Allah untuk ada dalam diri kita.” (Dakwatuna.com)

 

Bumi tarbiyyah,

Baling, Kedah.

 


Everything begins with tarbiyyah…

“Sesungguhnya tarbiyyah bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya tidak akan pernah jadi baik tanpa tarbiyyah.”

(as-Syeikh Mustafa Mahsyur)


Agar puasamu berbuah taqwa…

Raudhah Ramadhan…Moga akhirnya kembali kepada fitrah…Perjalanan menuju istiqamah…

http://www.facebook.com/raudhahramadhan

Lima hari yang berbaki…dinding-dinding Facebook, Twitter mahupun blog-blog sudah dipenuhi dengan status-status dan perkongsian bermakna mengenai Ramadhan…Alhamdulillah, satu perkembangan positif bila mana sesama kita saling mengingatkan tentang kunjungan tetamu mulia dan istimewa ini…Ramadhan yang di dalamnya bukan hanya menuntut seorang mukmin untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga semata-mata tetapi jauh lebih dari itu..Ramadhan adalah sebuah akademi, sebuah madrasah yang membawa peserta & pelajarnya menuju impi tertinggi dengan puncak taqwa sebagai anugerah paling berharga…

“Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” (Al Baqarah 2: 183)

Bagaimana untuk memaknakan dan mengagendakan Ramadhan agar pohon iman subur seterusnya menghasilkan buah taqwa? Kenapa kadang terasa puasa sudah dilaksanakan sebaiknya namun buah taqwa masih belum cukup enak? Taqwa itu dapat dikesan bila mana ada peningkatan akhlak sesama manusia dan penciptaNya..Taqwa yang melahirkan peningkatan kualiti kerja, amanah dan tanggungjawab…Taqwa yang membuatkan kita takut menyentuh apa-apa sahaja yang dilarang Allah…Taqwa adalah penjagaan yang cukup rapi dan sangat berhati-hati..Ia adalah waspada yang tertinggi…Saat ini, mari kita muhasabah diri…Sejauh mana nafsu tidak kita biarkan buas dalam perkara-perkara yang ditegah olehNya? Sebagai contoh,masihkah jiwa kita kikir walaupun telah beriktikaf, berqiamulail dan bersedekah sepanjang Ramadhan? Apakah hati masih kotor walaupun telah khatam Al-Quran seluruhnya? Tepuk dada, tanya iman..Moga Allah terus meneguhkan kita pada jalan lurus ini…

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa apabila mereka dibayang-bayangi fikiran jahat (berbuat dosa) dari syaitan, mereka pun segera ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat (kesalahan-kesalahannya).” (Al-A’araf 7: 201)

“Dan sebaik-baik pakaian adalah taqwa“.(Surah Al-A’raf 7:26)

“Hendaklah kamu berbekal dan sebaik-baik bekalan ialah taqwa“. (Al Baqarah 2: 197)

Andainya ini Ramadhan terakhir buat kita, apakah kita tega untuk membiarkan puasa tanpa darjat taqwa disisiNya? Ramadhan kali ini, sama-sama kita berjuang dalam erti kata perjuangan sebenar menahan nafsu, menundukkan emosi, menjinakkan hati dan jasad supaya tetap teguh melaksanakan amar maaruf nahi mungkar…agar puasa kita akhirnya membuahkan taqwa yang dicari…

Mana mungkin hati kita tidak bergejolak tatkala melihat yang lain melangkah ke pintu al-Rayyan?

“Sesungguhnya di syurga itu terdapat satu pintu yang diberi nama al-Rayyan. Dari pintu itu orang yang berpuasa akan masuk pada hari kiamat kelak. Tidak ada seorang pun selain mereka yang masuk melalui pintu itu. Kemudian, jika mereka telah masuk, pintu akan ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk melalui pintu itu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Nota kaki: dah buat checklist Ramadhan? 

Secebis perkongsian, moga ada manfaatnya…

– Hadirkan niat ikhlas kerana Allah

– Melambatkan sahur

– Membanyakkan zikir dan istighfar

– Kurangkan bercakap atau banyak diam

– Tadarus al Quran dan tadabbur maknanya

– Qiamullail

– Rajin bersedeqah

– Menyegerakan berbuka puasa. Bersederhana menyediakan atau membeli juadah berbuka.

– Solat terawih dan solat witir

– Menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan, memburu Lailatul Qadar.


Hikmah kembara [3]…Erti hidup pada memberi

Erti hidup pada memberi. 

Hari-hari tak terlepas bertemu dengan insan-insan yang diuji dengan nikmat kesihatan…berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul…dalam kesakitan dan ketidakmampuan, pasti ada sesuatu yang Dia ingin berikan pada hamba-hambaNya yang terpilih…kadang memang terasa sakit namun kesakitan inilah yang sentiasa mengingatkan kita pada Allah..yang sentiasa dekatkan kita pada Allah…moga ia jadi nilaian untuk beratnya neraca timbangan kelak…kekurangan adalah wadah terbaik untuk membantu diri ditarbiyyah…kerana kelemahan menuntut diri untuk mencari kekuatan…

Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara…nikmat sihat sebelum sakit, nikmat lapang sebelum sibuk, nikmat muda sebelum tua, nikmat kaya sebelum miskin dan nikmat hidup sebelum mati…sungguh, kerjaya ini bukan semata-mata untuk pencarian rezeki yang halal, sebaliknya ada amanah lain yang lebih berat untuk dilaksanakan…penghayatan kerja sebagai ibadah, menjadikan hari-hari lebih bermakna..erti hidup pada memberi…semoga menjadi penyucian jiwa dan rohani..moga dibersihkan jasad dan ruh agar terus menghamba padaNya dengan sebenar-benar kehambaan…

Kita kalah bila diri mengalah dalam jalan mujahadah.

“….sesungguhnya infak itu suatu jalan bagi mereka untuk mendekatkan diri (kepada Allah). Kelak Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmatNya (syurga).’
(At-Taubah 9: 99)

“Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).
(Adz-Dzaariyat 51:19)

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
(Al-Baqarah 2:261)


Hikmah kembara [2]…Dalam suram ada terang

“Wahai orang yang beriman, kalau kamu membela agama Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”(Muhammad:7)

Moga tsabat jadi buah amal.

Hampir tiga bulan keberadaan di daerah ini…kalau dulu, tidak seorang pun yang dikenali, tapi kini alhamdulillah, Allah hadirkan insan-insan untuk turut sama-sama diri ini melangkah dalam jalan yang diyakini…hanya rimbun kesyukuran yang mampu dirafakkan pada ar-Rahman atas nikmat ini…nikmat di mana Allah menyatukan hati-hati ini atas satu nama yakni Aqidah…

Benarlah kata pepatah, kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih…tiada apa yang dapat mengekalkan kita dalam jalan dakwah & tarbiyyah melainkan diri kita yang ingin terus thabat/ teguh pada jalan lurus ini…kerana kereta api dakwah akan terus berjalan walaupun tanpa kita sebagai penumpang…kerana bahtera dakwah akan terus belayar walaupun tanpa kita sebagai pendayung…dakwah tak memerlukan kita tapi kitalah yang memerlukan dakwah…dan kalau bukan kita yang dipilih, Dia pasti akan memilih mereka yang Dia kehendaki…seperti dalam firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 39:

“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah – membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Dalam suram, pasti ada terang…dalam susah pasti ada senang…tapi semuanya haruslah dengan tujuan untuk mencari keredhaan dariNya…untuk menjadi salah satu batu-bata yang akan menegakkan daulah Islamiyyah…walaupun bukan yang menjadi saksi pada kemenangan di akhirnya, tapi biarlah ada usaha kita dalam perjalanan ke arah itu…Sungguh, bukan hasil yang dikejar, tapi usaha yang ditabur…jangan memetik buah sebelum masak…

Moga tsabat.

***

3 Syaaban.

Moga persediaan kita menyambut tetamu Ramadhan semakin rancak.

Jom sama peduli amal, gembur iman!


Hikmah kembara [1]…Manusia itu lemah, perlu bergantung dengan Yang Maha Gagah

Ditakdirkan untuk berjauhan lagi. Satu kembara.

“Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Surah Ibrahim: 34)

Sudah sekian lama tidak mencoret dalam ruangan kembara syurga. Tapi insyaAllah bukanlah beerti kembara ini terhenti di sini…terlalu banyak yang ingin dikongsi, cuma kadang diri tak ampuh untuk menggagahkan jari-jemari untuk mencoret bicara…Dunia akademik dan dunia kerjaya sangatlah berbeza…Ibarat langit dan bumi…Masih ingat lagi saat-saat akhir ketika diri berjuang di medan imtihan…Apakah nanti ijazah itu pengakhiran pada sebuah pelayaran atau ianya nanti permulaan sebuah kehidupan? Pesan murabbi, jika ijazah adalah matlamat, kita telah sampai ke hujung. Jika risalah adalah matlamat, kita baru hendak bermula…Kini, kata-kata itu menjadi motivasi terhebat pada diri yang bukan lagi belayar dalam dunia ideal tetapi berada dalam medan sebenar di bumi sendiri…

Saat menerima tawaran kerjaya ke daerah pedalaman di salah sebuah negeri di utara, diri terasa cukup tidak kuat…ada titisan-titisan mutiara jernih yang turun membasahi wajah meraikan hari yang merakam memori dalam diari tarbiyyah kehidupan…Pelbagai persoalan muncul di minda memikirkan nasib diri untuk memulakan sekali lagi kehidupan di rantauan orang…Dengan fikrah yang difahami, mampukah diri bertapak dan daerah itu digembur? Masih ingat kata seorang ukhti, kita umpama sebiji benih…biar dicampak ke tanah gersang menumbuhkan ladang-ladang yang subur… biar dicampak ke laut menghasilkan pulau-pulau tempat berlindung… biar dicampak ke langit membentuk bintang-bintang baru yang cukup terang…Subhanallah! bukankah ruang sudah tersedia? Justeru mengapa tidak potensi diri diuji jika tarbiyyah dan dakwah yang ingin dicari?

“…But perhaps you hate a thing and it is good for you; and perhaps you love a thing and it is bad for you. And Allah Knows, while you know not.
(2:216)

“Allah does not charge a soul except [with that within] its capacity. It will have [the consequence of] what [good] it has gained, and it will bear [the consequence of] what [evil] it has earned…”
(2:286)

Kembara bermula. Niat menjadi perkara asas. Penghayatan kerjaya sebagai ibadah. Menjadikan kerjaya sebagai medan untuk beramal. Sukar tapi tak mustahil. Survival sebagai seorang yang memegang amanah terhadap majikan, rakan sekerja, ahli rumah, keluarga dan yang paling penting adalah amanah sebagai hamba Allah dalam melaksanakan segala perintahNya dalam suasana yang baru. Permulaan yang akan terus ditelusuri dengan 1001 hikmah insyaAllah.

Sungguh, manusia itu lemah, perlu bergantung dengan Yang Maha Gagah.

“…Cukuplah Allah bagiku. Tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki Arsy yang agung.”
(At-Taubah [9]: 129)


Berdoalah…

Kuasa doa dan harapan. Berdoalah dengan ikhlas dan hati yang penuh mengharap. Moga doa kita dimakbulkanNya.

“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan doamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan yang hina”.
(Al Mukmin : Ayat 60)

“Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai”
(Riwayat al-Tirmizi)

Doa senjata orang mukmin.
Tak tahu doa mana yang dimakbulkan Allah.
Kalau bukan doa diri, mungkin doa orang sekeliling.
Maka jangan pernah berhenti mendoakan kebahagiaan orang lain.
Doa dengan ikhlas dan hati yang penuh mengharap.
Moga Allah berikan yang terbaik untuk setiap urusan kita.

p/s: a week to go. moga Allah mudahkan.


Muhasabah

“Adakah manusia itu mengira, bahwa Kami akan membiarkan sahaja mereka berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka belum diuji oleh Allah swt.” (Al-Ankabut:2)

Februari tiba lagi. Alhamdulillah, masih lagi mampu merasa detak jantung berdegup. Masih lagi diberi peluang untuk terus sembah sujud pada Pencipta diri ini. Masih lagi diberi ruang untuk langsung bermuhasabah diri dalam memburu redha dan rahmat Ilahi…dan kiranya juga hampir sepurnama jejak kaki ini meninggalkan bumi subur dakwah dan tarbiyyah, Adelaide. Sungguh, rindu ini acapkali bertamu. Moga ianya jadi ibadah untuk terus menguatkan diri dan istiqamah dalam kembara jalan menuju syurgaNya, insyaAllah.

Yang pasti, hidup ini adalah ujian. Hanya pinjaman untuk melihat sejauh mana hamba ini benar-benar memanfaatkan setiap nikmat yang diberikan. Kagum dengan orang-orang beriman yang cukup sabar dan redha tatkala ujian menyapa. Sungguh, andai dirimu diuji dengan kesulitan, tetapkan hati dan bersangka baiklah (husnu dzon) pada Allah. Itu tanda Allah rindu untuk mendengar bicara seorang hamba dengan Pencipta. Mungkin ujian itu juga memelihara dirimu dari sejuta keburukan dan kerumitan yang lain. Dan ingatlah, mungkin juga kerana ujian itulah yang akan meningkatkan darjatmu di akhirat kelak.

“Tiadalah terjadi sesuatu bencana itu melainkan dengan kehendak Allah, dan siapa yang percaya kepada Allah nescaya dipimpin Allah hatinya” (Surah At-Taghabun:11)

Sedang dirimu diuji, rafaklah rimbunan kesyukuran kepadaNya. Ikhlaskan hati, redha dan hadapi dengan penuh kesabaran. Moga kebaikan dunia dan akhirat itu menjadi milikmu. Moga kesempitan itu berganti dengan kelapangan. Moga keresahan itu bertukar dengan ketenangan. Sungguh, Allah Maha Kaya.

nota kaki: lagi 2 hari untuk sampai pada 12 Rabiulawal. Sama-sama kita tingkatkan amal mengingati kekasih Allah, insan qudwah yang terulung. Banyakkan selawat kepadanya dalam hidup sehari-hari kita.